SURAT PEKELILING PERBENDAHARAAN BIL. 11 TAHUN 1995
Ketua-ketua Setiausaha Kementerian Ketua-ketua Jabatan Persekutuan YB Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri Ketua-ketua Badan Berkanun Persekutuan Pihak-pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan
PINDAAN PERTAMA SURAT PEKELILING PERBENDAHARAAN MENGENAI PANDUAN LAWATAN KE LUAR NEGERI KERANA PEROLEHAN KERAJAAN
1. TUJUAN
1.1. Surat Pekeliling ini bertujuan untuk menjelaskan peraturan-peraturan baru yang wajib dipatuhi oleh semua Kementerian/Jabatan/Badan Berkanun (Agensi) berhubung dengan kelulusan lawatan ke luar negeri kerana perolehan Kerjaan.
1.2. Arahan ini adalah untuk menarik balik penurunan kuasa yang diberikan kepada Lembaga Perolehan dan Ketua Setiausaha/Ketua Jabatan sebagaimana yang dijelaskan di perenggan 7, Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 11 Tahun 1995.
2. LATARBELAKANG
2.1. Pada hakikatnya, kos lawatan ke luar negeri bagi tujuan pemeriksaan sebelum penerimaan (PDI) ditanggung oleh Kerajaan secara tidak langsung melalui obligasi kontrak yang ditandatangani. Ianya dikatakan ditanggung oleh kontraktor yang berjaya. Keadaan ini telah menimbulkan salah anggap oleh pihak tertentu khususnya kontraktor yang tidak berjaya memenangi tender berkenaan.
2.2. Memandangkan lawatan ke luar negeri bagi tujuan tertentu seperti penilaian tender, latihan, dan lawatan PDI adalah penting, Kerajaan masih membenarkan lawatan dibuat tetapi kelulusan dari Perbendaharaan Malaysia hendaklah diperolehi terlebih dahulu.
3. PERUNTUKAN
3.1. Pembiayaan lawatan ke luar negeri hendaklah ditanggung secara berasingan melalui peruntukan Vot Jabatan bagi semua jenis lawatan yang dimaksudkan. Peruntukan hendaklah dipohon dan diperolehi dari Perbendaharaan pada setiap tahun belanjawan dibuat. Kaedah permohonan peruntukan dan perbelanjaan adalah tertakluk kepada Surat Pekeliling Perbendaharaan/Pekeliling Perbendaharaan yang berkuatkuasa.
3.2. Tanggungan bagi lawatan ke luar negeri melalui obligasi kontrak tidak akan dibenarkan sama sekali kecuali mendapat pengecualian khas dari Perbendaharaan Malaysia.
4. PERUNTUKAN
4.1. Agensi hendaklah menjelaskan kepada petender bahawa semua kos lawatan ke luar negeri akan ditanggung oleh Kerajaan secara berasingan. Oleh itu harga tawaran petender hendaklah tidak mengambilkira kos lawatan ke luar negeri. Perenggan ini hendaklah dibaca sebagai tambahan perenggan 6.1.4, Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 11 Tahun 1995.
5. KUASA MELULUS
5.1. Kuasa melulus yang diperturunkan kepada Lembaga Perolehan dan Ketua Setiausaha/Ketua Jabatan seperti di perenggan 7 Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 11 Tahun 1995 ditarik balik. Walau bagaimanapun Lembaga perolehan boleh meneliti dan memperakukan samada perlu lawatan dibuat atau sebaliknya.
5.2. Semua lawatan ke luar negeri bagi tujuan perolehan Kerajaan hendaklah dirujuk kepada Perbendaharaan Malaysia. Bahagian Pengurusan Perolehan Kerajaan akan mengkaji dan memperakukan permohonan dari Kementerian/Jabatan/Badan Berkanun untuk kelululusan muktamad Bahagian Belanjawan, Perbendaharaan Malaysia.
5.3. Permohonan lawatan ke luar negeri hendaklah disampaikan ke Perbendaharaan Malaysia menggunakan borang seperti di Lampiran A Surat Pekeliling ini.
6. KUATKUASA DAN PEMBATALAN
6.1. Surat Pekeliling Perbendaharaan ini berkuatkuasa mulai 1 Julai, 1996. Dengan berkuatkuasanya arahan ini, perenggan 5 dan 7, kepada Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 11 Tahun 1995 adalah dibatalkan.
Sekian, Terima kasih.
" BERKHIDMAT UNTUK NEGARA "
Saya yang menurut perintah,
( DATO' SHAHBUDIN BIN IMAM MOHAMAD) Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Operasi), b.p. Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia.
Bertarikh: 14 Jun 1996
No. Fail : S(K&B)(8.09)735/3/1-348 Jld. 9(Sj.5)(6)
s.k. Akauntan Negara Malaysia; Ketua Audit Negara Malaysia; Semua Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri; dan Semua Ketua Bahagian Perbendaharaan Malaysia.
|